Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Sifat Rosul lemah lembut serta sabar dalam kehidupannya

Kutipan sifat rosul dalam lemah lembut dan bersabar.

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang mukmin ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas 'amal Islami sehingga himmah dan lemah lembut mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan".(Surah al-Syura ayat 43)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?".

(Surah an-Nur ayat 22)

"Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan".

(Surah al-Furqan ayat 63)

Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang bermaksud : "Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya."

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: "Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu."

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Apabila Allah Subhanahuwata'ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu". Mereka menjawab: "Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut", lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal"